
JOHOR BAHRU: Potensi gempa bumi berskala lebih besar berlaku di Segamat, Johor adalah rendah kerana daerah itu tidak berada dalam kawasan garis sesar aktif.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir Dr Mariyana Aida Ab Kadir, berkata gegaran di daerah itu hari ini dikategorikan sebagai gegaran kecil dan tidak mendatangkan kesan serius kepada penduduk serta struktur yang berada di kawasan sekitar.
Beliau yang juga ahli kumpulan Engineering Seismology and Earthquake Engineering Research (eSEER) UTM, berkata pemantauan berterusan perlu dibuat bagi membolehkan maklumat awal disalur supaya penduduk tidak panik.
“Jika merujuk kepada peta kontur Peak Ground Acceleration (PGA) National Annex: 2017 (MS EN 1888-1:2015), Johor umumnya dan Segamat khususnya tidak berada dalam kawasan aktiviti garis sesar aktif dan terletak dalam PGA empat peratus iaitu kelajuan pergerakan tanah semasa gempa bumi.
“Gempa bumi boleh berlaku di kawasan garis sesar sama ada di kawasan darat atau laut.
“Garis sesar boleh dikenal pasti sama ada aktif atau tidak. Pergerakan tanah pada garis sesar aktif untuk mencerap pergerakan atau getaran tanah semasa gempa bumi boleh dicerap menggunakan alat seismometer,” katanya.