Tiada Lagi Peruntukan Bagi Penternakan Babi: Sultan

Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tiada lagi penternakan babi di Kuala Langat dan peruntukan kewangan kerajaan negeri untuk operasi penternakan babi di Selangor pada masa depan.

Sultan Selangor juga menitahkan kajian menyeluruh kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di negeri itu.

Tiga ketetapan itu dititahkan baginda ketika sesi menghadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, di sini.

Menurut kenyataan rasmi Istana Selangor, Sultan Sharafuddin sudah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di negeri itu dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini.

“Sehubungan itu, baginda memperkenan dan menetapkan beberapa ketetapan.

Pertama, baginda menitahkan tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat. Operasi sedia ada dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar,

Bagi ketetapan kedua, baginda menitahkan satu kajian terperinci, serta bancian menyeluruh berasaskan data sah bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja.

Baginda juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan.