Tiada kesan besar kepada 85 peratus pengguna elektrik

Foto BH

PUTRAJAYA: Perubahan harga gas asli dan arang batu global susulan krisis di Asia Barat.tidak akan memberi kesan besar terhadap bil elektrik kira-kira 85 peratus isi rumah domestik.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh , mengingatkan Malaysia perlu bersedia berdepan dengan kenaikan kos bahan api untuk menjana elektrik susulan situasi geopolitik di Asia Barat ketika ini.

Beliau berkata ketika ini, kira-kira 80 peratus daripada kos gas asli untuk penjanaan elektrik negara masih lagi ditetapkan atau diikat kepada gas asli domestik.

Menurutnya, 20 peratus lagi diimport yang mendedahkan negara kepada harga pasaran dunia.

Oleh itu, kos gas asli itu dilindungi daripada pasaran tenaga global yang kini terjejas akibat krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.

Pada masa ini, katanya konsep Insentif Cekap Tenaga yang diamalkan sekarang untuk pengguna kediaman akan kekal pada skala pengurangan bagi penggunaan sehingga 1,000 kilowatt jam dan kekal neutral bagi penggunaan sehingga 600 kilowatt jam.