Tiada Kartel dalam Industri Filem Tempatan: Finas

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Semua filem wajib tayang mematuhi prosedur dan dakwaan wujudnya kartel dalam industri perfileman adalah tidak benar, kata Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac.

Menurutnya, Finas sedang menambah baik dasar dan peraturan termasuk rombakan kecil akta perfileman bagi memastikan keadilan kepada penerbit.

“Kami dah bincang dan saya juga hubungi saudara Afdlin Shauki untuk dapatkan penjelasan berhubung dakwaan itu. Tugas kami ialah memastikan setiap proses melalui cara yang telus dengan tatacara dan tatakelola yang betul.

“Masyarakat tahu yang kita ada proses dan kami sentiasa patuhi proses itu. Cuma kadang-kadang, selepas beberapa lama benda akan bertukar, seperti dulu kita ‘shoot’ (guna) 35 mm filem tetapi sekarang digital. Begitu juga dengan proses wajib tayang dan penempatan filem, semua ini adalah proses untuk menambah baik,” katanya selepas penyerahan Insentif Tayangan Filem Cereka 2.0 (ITFC 2.0), di sini semalam.

Media melaporkan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia Datuk Afdlin Shauki mendakwa wujud “tangan ghaib” atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan termasuk dari aspek slot tayangan utama, promosi dan pengedaran.

Afdlin menyifatkan keadaan itu menyebabkan pembikin filem seperti “berjudi dengan nasib” kerana kualiti karya tidak lagi menjadi penentu utama.

Mengenai platform alternatif termasuk aplikasi baru yang dibangunkan oleh pengarah Erma Fatima, Hans menyifatkannya sebagai perkembangan positif kerana membuka lebih banyak peluang kepada penerbit menyalurkan karya mereka.

“Siapa sahaja boleh berniaga dan tunjukkan konten mereka. Kami (Finas) tidak akan halang, asalkan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan. Jika tidak melanggar syarat, Finas akan terus memberi sokongan,” katanya.