
KUALA LUMPUR: “Saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas email tu, terutama Epstein,” jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menafikan sebarang kaitan dengan mana-mana pihak dalam pertukaran emel dikaitkan dengan kes membabitkan ahli kewangan, Jeffrey Epstein, meskipun namanya dipetik oleh pihak luar yang mahu mengadakan pertemuan.
“Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam emel membabitkan kes Epstein.
“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas email tu, terutama Epstein.
“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru,” katanya dalam satu hantaran pada akaun Facebook miliknya.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, nama Perdana Menteri muncul dalam kelompok terbaru fail yang dikeluarkan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan mendiang Epstein.
Nama Anwar tidak dikaitkan dengan sebarang dakwaan salah laku seksual atau lawatan ke pulau terkenal milik mendiang ahli kewangan itu, sebaliknya hanya dibincangkan dalam konteks politik.