
KUALA LUMPUR: Jemaah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi menghadapi suasana getir jika berada di sana lebih lama.
Siti Nur Aishah bersama neneknya di sana berkata, ketika ini mereka masih tinggal di hotel dan agensi pelancongan hanya menanggung penginapan untuk dua hari satu malam saja.
“Jika terkandas lebih dari lima hari di sini, wang simpanan kami sudah tidak dapat nak tampung kos penginapan dan makanan,” katanya.
Siti Nur Aishah berharap kerajaan mengambil tindakan segera membantu jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi.
“Kami mohon agar diberikan bantuan tempat tinggal dan makanan sepanjang terkandas di sini kerana bukan semua orang mampu dan berduit. Ada jemaah yang datang lima sekeluarga. Jumlah perbelanjaan mereka semestinya banyak perlu dikeluarkan.
“Jika ruang udara sudah dibuka, saya amat berharap bantuan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk datang membantu kami pulang ke Malaysia dengan selamat. Ini kerana terdapat warga emas yang berusia 68, 72 dan 75 tahun yang resah dan susah hati di sini,” katanya.