Terima kasih, Ini Kemenangan Rakyat: Hajiji

Foto Bernama

KOTA KINABALU: Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah kemenangan rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah atas mandat baru diberikan kepada beliau untuk terus menerajui kepimpinan pentadbiran negeri.

“Kemenangan ini milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah lebih cerah.

“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.

Foto Berita Harian

“Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini,” katanya dalam kenyataan selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 di Istana Seri Kinabalu di sini, pagi tadi.

Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama meraikan kemenangan GRS dalam pilihanraya negeri kali ini, sebagai permulaan kepada bab baru yang dipenuhi dengan tujuan dan tekad untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

Foto Bernama

Beliau berkata, sejak awal komitmen GRS adalah untuk memupuk perubahan dan kemajuan menerusi agenda pembangunan holistik dan inklusif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus menggerakkan pembangunan bermakna serta membina jambatan menyatukan dan bukan memisahkan.

“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu (Sabah United),” katanya.

Hajiji berkata komitmen penuh gabungan parti tempatan Sabah itu adalah untuk bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua rakyat Sabah.

Ketika ditemui media di luar istana, Hajiji secara ringkas berkata “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, selesai sudah saya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, terima kasih kita jumpa esok”.

Hajiji, 70, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini, kira-kira 3.05 pagi.