Terapi Tidur 6 Saat Bahaya, Boleh Bawa Maut

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Terapi yang dikenali sebagai ‘tidur enam saat’ berbahaya kerana ia boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan, malah berpotensi membawa maut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam maklum balas kepada MyCheck Malaysia, menegaskan “tidur” yang diperkatakan itu bukanlah tidur sebenar, sebaliknya ia melibatkan tekanan fizikal pada bahagian leher sehingga menyebabkan individu terlibat pengsan akibat kekurangan oksigen ke otak.

“Prosedur sedemikian boleh mengakibatkan komplikasi perubatan yang signifikan termasuklah pengsan mengejut, strok, kecederaan arteri karotid, gangguan irama jantung (aritmia), hipoksia serebrum, kecederaan otak kekal, sawan, selain risiko kematian.

“Setakat ini, tiada asas saintifik atau bukti perubatan yang menyokong keberkesanan kaedah tersebut yang menggunakan tekanan pada bahagian leher sehingga menyebabkan kehilangan kesedaran secara sementara,” kata KKM kepada MyCheck Malaysia.

MyCheck Malaysia adalah inisiatif semakan fakta yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi membanteras penyebaran maklumat palsu.

Ini termasuklah terapi ‘tidur enam saat’ yang didakwa oleh “perawat” bahawa kaedah itu mampu mengeset semula pusat otak dan melegakan tekanan serta membuang unsur negatif di dalam badan.