
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata lantikan itu berkuatkuasa semalam untuk tempoh dua tahun.
“Selain menerajui Mida, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” kata PMO dalam kenyataan media.
Pelantikan baru Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai pengerusi Mida ini dibuat selepas tempoh lantikannya sebagai Ahli Dewan Negara berakhir, sekaligus menutup tirai dua penggalnya sebagai menteri.