Tenaga Nuklear: Mula dengan unit terapung

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Tenaga nuklear Malaysia boleh bermula dengan penggunaan unit terapung sebagai langkah awal membina kapasiti nuklear menjelang 2031, kata Pengarah Projek Rosatom Energy, Alexander Tsibulya.

Menurutnya, pendekatan itu paling praktikal untuk Malaysia kerana unit berkenaan boleh ditempatkan di sepanjang pesisiran pantai Semenanjung dan Malaysia Timur, sejajar dengan hasrat kerajaan melaksanakan tenaga nuklear dalam dekad akan datang.

“Kerajaan Malaysia telah menyatakan bahawa menjelang 2031, beberapa kapasiti kecil tenaga nuklear akan diwujudkan di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab sempena Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di sini, semalam.

Tsibulya yang juga ahli panel sesi bertajuk “Tenaga Nuklear Bagi Pembangunan Berkarbon Rendah: Daripada Penyelesaian Terapung Kepada Industri Nuklear Domestik Berskala Besar” menjelaskan bahawa teknologi FPU sesuai bagi negara pesisir seperti Malaysia kerana boleh ditempatkan di luar pesisir atau berhampiran pelabuhan sedia ada.

Beliau berkata penyelesaian itu bukan sahaja fleksibel dan selamat, malah mampu membantu Malaysia memenuhi keperluan tenaga mengikut wilayah, khususnya antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

“Bagi Semenanjung, kapasiti nuklear berskala besar sekurang-kurangnya dua unit berkapasiti 1,200 megawatt boleh dijadikan sebahagian daripada sistem tenaga,” katanya.