
CYBERJAYA: Pada 18 Ogos lalu, Dewan Tun Canselor Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya menjadi saksi kepada satu acara penting apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE).
Majlis itu turut dilangsungkan sesi dialog ‘Temu Anwar’ bersama mahasiswa, memperlihatkan kesediaan Perdana Menteri turun padang mendengar suara, keresahan dan harapan generasi muda Malaysia.
Sesi dialog ‘Temu Anwar’ ini diadakan secara berkala sejak Perdana Menteri mula memegang jawatan itu pada 24 November 2022, sekali gus menegaskan peranan mahasiswa sebagai rakan dialog dalam pembinaan negara bangsa.
Sesi ini membentuk budaya dialog dua hala yang sihat, yang mana mahasiswa dapat bertanya soalan kritikal tanpa sekatan, sementara Perdana Menteri pula berlapang dada menerima pandangan, teguran dan cadangan mereka.
Pada 11 April lalu, Perdana Menteri hadir ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam satu sesi ‘Temu Anwar’ di sana. Dalam sesi itu, beliau menegaskan kerajaan tidak akan menaikkan cukai hanya untuk menambah peruntukan institut pengajian tinggi awam (IPTA) kerana langkah sedemikian akan membebankan rakyat.
Pada 5 Mei pula, beliau menghadiri program serupa bersama mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Management and Science University (MSU), Shah Alam. Di MSU, Perdana Menteri menekankan kepentingan penguasaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta peralihan tenaga, sambil mengingatkan mahasiswa tetap berpegang kepada nilai budaya, akhlak dan akidah ketika meneroka dunia digital.