
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan tempoh pelantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan setahun lebih awal.
Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, supaya tempoh perkhidmatan Dr Maimunah dipendekkan daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025.
Ia bagi membolehkan Dr Maimunah menyertai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) gergasi nasional.
“Pemendekan tempoh itu bagi memberi ruang kepada beliau untuk menyumbang kepakaran dalam GLC berkenaan yang diberi tanggungjawab membangunkan mercu tanda baru di Kuala Lumpur.
“Keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan dan kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari, terutama ketika menerajui UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif,” katanya.