
PETALING JAYA: Proses kelulusan program Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES) dipendekkan kepada hanya 14 hari bekerja, berbanding 90 hari sebelum ini selaras usaha meningkatkan kebolehpasaran belia dan memenuhi keperluan tenaga mahir industri.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, kerajaan turut memperkenalkan pembayaran pendahuluan RM2,000 untuk setiap pelatih yang akan disalurkan melalui syarikat terbabit.
“Program ini menggunakan konsep bayar dan tuntut semula. Pelaksanaan pembayaran pendahuluan RM2,000 ini akan bermula 1 Mac ini dan syarikat boleh menerima bayaran dalam tempoh 14 hari bekerja”
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pematuhan syarat dan dokumen lengkap yang ditetapkan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)”
Program berkenaan membabitkan peruntukan RM30 juta bagi tempoh tiga tahun dengan sasaran bakal memberi manfaat kepada 25,000 pelatih tempatan.
Pemberian pendahuluan RM2,000 itu dapat membantu syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menampung kos latihan pada peringkat awal.
Tambah Ramanan, MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) akan memperkenalkan pendekatan berasaskan industri di mana keperluan kemahiran ditentukan oleh industri bagi memastikan latihan benar-benar membawa kepada peluang pekerjaan.