
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah sebagai institusi pertama di Asia Tenggara membangunkan teknologi Portal Pemantauan Sinaran (RPM) dan Mesin Pengimbas Kargo Pandu Lalu Berbilang Pandangan yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Projek Malaysia Laboratories for Academia–Business Collaboration (MyLAB) 2/2020 Prof Dr Suhairul Hashim berkata, teknologi ituberfungsi sebagai benteng pertahanan awal negara dalam mengekang penyeludupan barangan berbahaya termasuk senjata, bahan letupan dan bahan radioaktif yang boleh digunakan untuk tujuan keganasan.
Beliau berkata, pasukan penyelidik UTM membangunkan Pengimbas Kargo Pandu Lalu yang menggunakan sinar-X berkuasa tinggi dan AI untuk menembusi kontena keluli serta mengesan kandungan sebenar termasuk barangan terlarang seperti senjata, dadah, alkohol dan rokok.
“Sistem ini dilengkapi pembelajaran mesin dan pangkalan data imej barangan larangan bagi membolehkan pengecaman automatik tanpa memerlukan kepakaran saintifik oleh pegawai kastam.
“Sistem ini turut menyimpan imej objek seperti peluru, senapang dan meriam, yang akan dibandingkan secara automatik apabila sesuatu kenderaan melalui mesin pengimbas,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Mesyuarat Tahunan Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom Asean (ASEANTOM) di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, RPM dan Pengimbas Kargo ini juga boleh dipantau secara masa nyata melalui telefon pintar, membolehkan pemantauan jarak jauh terhadap sebarang cubaan membawa masuk bahan berbahaya.