
KUALA LUMPUR: Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Alif Jasni, berkata tekanan sosial dan emosi dikenal pasti faktor utama yang mendorong wanita terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia.
Beliau berkata, kebanyakan mereka berdepan dengan kemiskinan, ketidakstabilan pekerjaan, serta kebergantungan kepada pasangan yang turut bergelut dengan ketagihan dadah.
“Selain itu, pengalaman trauma seperti penderaan fizikal, seksual dan keganasan rumah tangga turut meningkatkan kecenderungan untuk mencari ketenangan atau melepaskan tekanan melalui penggunaan dadah.
“Pengaruh rakan sebaya dan hubungan yang bersifat toksik juga menjadikan wanita lebih mudah terdedah kepada risiko penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, dalam banyak kes, wanita yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah terdedah kepada risiko lebih tinggi seperti kehamilan yang tidak diingini, jangkitan penyakit berbahaya seperti HIV atau AIDS serta kecenderungan untuk menjadi ibu tunggal sekali gus terpaksa membesarkan anak dalam keadaan yang tidak stabil.