Teh Tarik, Sate, Durian Hidangan Sepanjang Sidang Puncak Asean

Foto Hiasan / AI

KUALA LUMPUR: Lebih 100 cef tidak henti-henti memasak untuk menghasilkan ribuan hidangan setiap hari, bermula dari seawal subuh hingga lewat malam di dapur Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Misi mereka jelas. Dari 26 hingga 28 Oktober, mereka perlu menyediakan makanan untuk yang terlibat dalam sidang kemuncak Asean ke-47. Tiada kompromi terhadap rasa, kualiti dan keselamatan makanan.

Cef Eksekutif pusat konvensyen itu, Hisham Jaafar, berkata pasukannya terdiri daripada 68 cef tetap dan kira-kira 100 pekerja sambilan, ditugaskan menyediakan lima hidangan setiap hari untuk lebih 5,000 delegasi.

Sejak awal minggu ini, dapur berkenaan telah menyediakan antara 2,000 hingga 3,000 sajian sehari sebagai persiapan ke acara utama.

“Misi kami ialah menyajikan delegasi hidangan terbaik yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia menggunakan bahan tempatan sebanyak mungkin. Antara menu tumpuan ialah rendang, varuval, char kuetiau dan sate,” katanya.

Durian dan teh tarik juga tidak ketinggalan.