
SEREMBAN: Tauke restoran nasi kandar di sini menafikan dakwaan pekerjanya mengitar semula sisa makanan susulan tular sebuah video yang memaparkan seorang pekerja sedang membasuh lebihan makanan.
Pemiliknya, Datuk Fadzil A Bakar, berkata tindakan itu sebenarnya dilakukan untuk mengasingkan minyak dan rempah-ratus sebelum diberikan kepada haiwan jalanan.
Adalah mustahil untuk menjual semula sisa makanan kepada pelanggan kerana ia akan cepat basi dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, katanya.
“Makanan itu akan rosak dengan cepat dan pelanggan pasti dapat mengesannya. Kami bukan baru dalam industri ini. Mungkin orang lain lakukan, tetapi kami tidak pernah melakukan perkara sedemikian,” katanya.
Fadzil berkata, seorang lelaki mengunjungi restoran itu sejak beberapa tahun lalu untuk mengumpul sisa makanan untuk memberi makan kepada haiwan jalanan seperti kucing dan burung.