Tatakelola kewangan UKM: SPRM mula siasatan minggu depan

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bermula minggu depan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui kenyataan berkata tindakan siasatan dibuat susulan dapatan terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berkaitan ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola universiti awam terbabit.

Kenyataan itu menyebut, siasatan dimulakan dengan meneliti sama ada wujud kelemahan tatakelola atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasanya.

“Siasatan akan tertumpu perkara yang dibangkitkan dalam laporan LKAN 1/2026 berkenaan.

“Ia termasuk dakwaan ketidakaturan serius dalam pengurusan kewangan universiti, kutipan yuran tanpa kuasa dan hasil yang tidak direkodkan atau tidak diakaunkan dengan sewajarnya,” katanya.

SPRM menegaskan siasatan akan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau undang undang lain yang berkaitan,” katanya.

LKAN 1/2026 mendedahkan ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024.

Menurut Ringkasan LKAN Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024, kutipan hasil yuran keseluruhan pelajar bagi program SPEND dan DPLI berjumlah RM60.77 juta.

Daripada jumlah itu, UKM merekodkan kutipan RM2.43 juta, manakala RM50.74 juta dikutip melalui koperasi. Bagaimanapun, sebanyak RM7.60 juta masih belum diterima.

Laporan mendedahkan kutipan yuran pelajar tanpa kuasa berjumlah RM50.74 juta dan perjanjian kerjasama tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan.

Selain itu, audit mendapati yuran pelajar tidak direkod sebagai hasil UKM berjumlah RM32.36 juta daripada keseluruhan hasil yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta.

Daripada RM50.74 juta yuran pelajar yang dikutip koperasi, agihan RM21.02 juta lewat diserah kepada UKM, dalam tempoh 31 hingga 291 hari.