
NAIROBI: Tarif produk pertanian akan dihapuskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Kenya.
Malaysia dan Kenya bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, menandakan peristiwa penting bersejarah dalam hubungan diplomatik yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak 60 tahun.
Presiden Kenya, William Samoei Ruto, berkata hubungan yang dipertingkatkan itu akan memastikan kerjasama di antara Putrajaya dan Nairobi digerakkan dengan tujuan dan struktur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata perkongsian strategik itu akan merangkumi semua bidang dan import pertanian tradisional malah juga dalam teknologi baharu seperti peralihan tenaga dan transformasi digital, termasuk semikonduktor.
Presiden Ruto menekankan struktur kerjasama yang lebih jelas di antara Nairobi dan Putrajaya manakala Anwar menyatakan kerjasama bukan sahaja dalam sektor pertanian tradisional, tetapi juga teknologi baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital, dan semikonduktor.
Anwar memberi jaminan bahawa perniagaan Kenya akan menerima layanan istimewa daripada Malaysia.
Beliau menegaskan, kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara, manakala sektor swasta menjadi peneraju utama dalam kerjasama ekonomi.
Anwar berkata, Malaysia dan Kenya masing-masing mempunyai bidang kelebihan yang boleh dikongsi, sekali gus membuka peluang perdagangan dan pelaburan lebih luas antara kedua-dua negara.