Tarif Kurang Kepada 19%, Tak Jejas kedaulatan negara

Foto AP

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa keputusan Amerika Syarikat untuk mengurangkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting demi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.

Kenyataan MITI menyebut rundingan tarif di antara Malaysia dan Amerika yang bermula pada 6 Mei 2025 telah dimuktamadkan secara rasmi pada 31 Julai 2025.

Hasil positif itu adalah susulan usaha berterusan di antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala, dan mencerminkan tahap saling melengkapi yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan pelaburan selama lebih 60 tahun.

Menurut kenyataan itu, kadar tarif 19 peratus yang berkuat kuasa hari ini itu juga hampir setara dengan kadar yang dikenakan terhadap negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

“Paling penting, Malaysia telah bertegas dalam mempertahankan pelbagai perkara berprinsip (red line),” kata MITI yang menganggap pengurangan kadar tarif ini sebagai satu pencapaian besar hasil proses rundingan yang teliti dan sistematik oleh Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keputusan oleh Amerika ini mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berterusan antara kedua-dua negara.

Katanya, ia juga membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan kami di Amerika, khususnya Pejabat Wakil Perdagangan Amerika dan Jabatan Perdagangan Amerika, atas kerjasama dan sokongan mereka sepanjang proses rundingan ini,” katanya.