
KUALA LUMPUR: Langkah membersihkan segala kes rasuah dan salah guna kuasa, terutama yang membabitkan pemimpin atasan atau jerung, perlu masa dua tiga tahun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika meletakkan sasaran itu, Perdana Menteri berkata, ia termasuklah ‘pemburuan’ terhadap pihak yang pernah mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk menteri untuk dibawa ke muka pengadilan jika terbukti mereka terbabit rasuah.
Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan supaya peranan badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkukuhkan lagi.
“Saya pernah cadangkan, kalau dalam dua, tiga tahun kalau hendak kita perkukuhkan lagi SPRM ataupun badan penguatkuasaan, saya tidak ada halangan.
“Saya kata kalau boleh, dalam dua tiga tahun ini, ‘we clean up the mess’ (kita bersihkan kekacauan ini). Mesejnya jelas, dulu (kamu) menteri ke, KSU (ketua setiausaha) ke, KP (ketua pengarah) ke, kalau nampak salah laku, ‘we’ll go after you’ (kita akan cari kamu).
“Kalau bukan hari ini, esok, (kalau) bukan esok, tahun hadapan. Anda pencen pun (kalau) kita dapat bukti anda curi semasa berkuasa, kita akan cari. Itu tekad saya,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistematik.
Panel forum termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ahmad Ramdzan Daud.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata walaupun keutamaan kes rasuah ditumpukan pada ‘jerung besar’ namun beliau mengakui ia lebih mencabar kerana mereka mempunyai ‘sumber’ yang kuat termasuk membayar media sosial, parti politik dan media.