
KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menipu wang pelabur dipercayai lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika mengesahkan perkara itu berkata suspek lelaki berusia 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam ditahan selepas tiba di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya, kelmarin.
Beliau berkata, SPRM memperoleh kebenaran perintah reman empat hari hingga Ahad ini terhadap suspek itu di mahkamah Putrajaya, pagi tadi, bagi membantu siasatan.
Azam juga berkata, SPRM turut menahan seorang wanita yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kelmarin untuk membantu siasatan kes sama.
“Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.
“Ramai pelabur dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit. Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
“Pelaburan dipercayai didalangi dua suspek berkenaan adalah pelbagai dengan dijanjikan pulangan yang lumayan,” katanya