Tak perlu beri penjelasan dakwaan pembangkang: Anwar

Foto Bernama

GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pembangkang kononnya kerajaan menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia.

Perdana Menteri berkata, tiada keperluan memberi penjelasan termasuk di Parlimen, mengenai dakwaan pembangkang itu.

Beliau berkata, memang sikap pembangkang sanggup membuat fitnah sedemikian sekaligus menyalahgunakan kebebasan bercakap.

“Ini masalah pembangkang, dia (pembangkang) guna kebebasan bercakap merapu, bohong, guna Islam, guna nama Islam untuk tipu, guna nama Islam (untuk) tipu, guna fakta salah.

“Kalau dia tanya kami minta Perdana Menteri beri penjelasan tak apa. (Ini tidak) dia buat hukuman, menipu terus menerus. Saya tak boleh terima alasan sebegini. Ini bukan perangai pembangkang yang wajar dalam negara kita. Mesti bertanggungjawab.

“Tak perlu bagi penjelasan (di Parlimen). Dia mesti bertanggungjawab, buat tuduhan, menipu, memfitnah terus menerus dan kita tidak boleh terima cara, kaedah terima cara politik buruk dan busuk seperti ini,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang kononnya kerajaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada kerajaan Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.