Suspek bunuh di Golok bekas pemain import Kelantan

Foto Malaysiakini

KOTA BHARU: Suspek dalam kes seorang lelaki Malaysia ditembak mati di pekan Sungai Golok, semalam, adalah bekas pemain import bola sepak Kelantan.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, ia berdasarkan hasil siasatan dalaman dijalankan pegawainya, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah melancarkan operasi memburu suspek yang dipercayai mempunyai dua kewarganegaraan.

“Berdasarkan hasil siasatan, kami berjaya mengenal pasti suspek, seorang bekas pemain import bolasepak negeri ini.

“Selain mengadakan sekatan jalan raya, saya juga mengarahkan semua agensi yang mengawal sempadan supaya memperketatkan pemantauan,” katanya.

Mengenai mangsa bunuh pula, Mohd Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 33 tahun itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.