
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diseru supaya bertindak tegas susulan penemuan sebuah bangunan empat tingkat yang didakwa didirikan oleh warga asing tanpa kebenaran di Sungai Tekali, Hulu Langat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, bukan SPRM sahaja yang perlu turun padang, sebaliknya Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut wajar menjalankan siasatan terperinci terhadap struktur yang kini menjadi tular di media sosial itu.
Menurutnya, MCW sedar premis berkenaan pernah diserbu menerusi operasi bersepadu pada Februari tahun lalu, yang menyaksikan puluhan warga asing ditahan oleh pihak Imigresen. Namun, beliau mempersoalkan mengapa isu itu masih berlanjutan sehingga kini tanpa penyelesaian muktamad.
“Jika bangunan ini didirikan tanpa kelulusan pelan, kebenaran merancang, sijil keselamatan atau restu pihak berkuasa tempatan, MCW ingin tahu bagaimana binaan sebesar itu boleh berdiri dan beroperasi sekian lama tanpa sebarang tindakan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau turut menggesa laporan status sebenar bangunan itu didedahkan kepada umum bagi membendung spekulasi dan sentimen perkauman.
Jais menegaskan, fokus sebenar bukanlah terletak pada soal kaum atau etnik, tetapi pada integriti tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan bangunan serta kemungkinan wujudnya kecuaian atau penyalahgunaan kuasa. Sebagai sebuah negara berteraskan kedaulatan undang-undang, katanya, setiap individu, pemilik tanah mahupun penghuni sama ada rakyat tempatan atau warga asing wajib akur dengan peraturan negara, kerana kegagalan bertindak hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pentadbiran awam.
Sebelum ini, laporan Harian Metro mendedahkan etnik Rohingya didakwa membina kediaman menyerupai flat empat tingkat secara haram di kawasan terpencil Sungai Tekali. Penemuan itu mula tersebar apabila penyampai radio merangkap pelakon, Azad Jasmin, 50, atau lebih dikenali sebagai Pak Azad, secara kebetulan melalui jalan berkenaan lalu merakam video memaparkan keadaan bangunan yang mencurigakan itu.
Sumber : Berita Harian