
KUALA LUMPUR: “Kami sudah tidak sabar tiba di Gaza kerana kami sedih melihat keadaan penduduk di yang semakin teruk,”.
Demikian kata Pengarah Media Muslim Care Malaysia yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Tuan Asri Tuan Hussein yang kini sudah hampir empat hari dalam bot berlabuh di Teluk Portopalo di Capo Passero.
Tuan Asri berkata mereka dijangka mengambil masa kira-kira 12 hari lagi untuk tiba di Gaza dan mengakui semua peserta sudah tidak sabar tiba di Gaza untuk menyerahkan bantuan.
Katanya, semangat itu sentiasa berkobar dalam diri setiap peserta meskipun mengakui peluang untuk mereka tiba di Gaza adalah tipis.
“Kami bawa makanan, ubat-ubatan dan susu formula untuk bayi di sana. Jadi kalau boleh kami mahu serahkan bantuan secepat mungkin.
“Cuma pada masa sama kita kena akui sebenarnya peluang untuk sampai ke daratan di Gaza itu tipis. 28 misi flotilla sebelum ini, semua tak pernah sampai lagi, disekat,ditahan, dipenjara kemudian dihalau balik. Jadi itulah kemungkinan juga yang akan berlaku ke atas kami,” katanya.
Tuan Asri berkata setiap sukarelawan menunggu hari meneruskan perjalanan untuk segera tiba di Gaza dan turut memaklumkan perkara itu juga sering menjadi antara topik utama perbincangan mereka.