
KLANG: Nazir dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau dilarang terbabit dalam politik kepartian kerana ia boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Sharafuddin bertitah, larangan itu termasuk memegang apa-apa jawatan politik dalam masa sama dilantik sebagai nazir atau imam masjid dan surau kerana institusi itu perlu kekal sebagai pusat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing,” titah baginda.
Titah itu disampaikan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 nazir dan imam masjid seluruh Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.
Menurut Sultan Sharafuddin, masjid dan surau tidak boleh dijadikan gelanggang politik, medan meraih sokongan atau platform kepentingan peribadi yang akhirnya membawa kepada perpecahan masyarakat Islam.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menegaskan, jawatan nazir dan imam bukanlah kedudukan untuk direbut, sebaliknya satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.