Sultan Selangor Tegur MP Tak Beradab

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sikap tidak beradab Ahli-Ahli Parlimen yang gagal menunjukkan contoh baik ditegur oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda meminta mereka mewakili rakyat dengan penuh hormat, maruah dan integriti.

Baginda menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir wakil rakyat yang terjerumus dalam pertengkaran, jerit-menjerit serta tingkah laku tidak tertib di Dewan Rakyat.

“Keadaan ini memalukan. Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini, masih ada yang terus berkelakuan biadab,” titah baginda dalam temu bual bersama Bernama.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa Ahli Parlimen yang berperangai sedemikian sepatutnya menjadi teladan kepada generasi muda, namun sebaliknya “mereka berkelakuan seperti pembuli”.

Sultan menyeru Ahli Parlimen untuk berbahas dengan adab dan memperlihatkan kematangan dalam membincangkan isu.