Sukarelawan Pulang Melalui Negara Ketiga

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Luar menyatakan semua sukarelawan warga Malaysia yang ditahan Israel selamat, sihat dan akan kembali ke tanahair melalui negara ketiga.

Kenyataan Wisma Putra menyebut mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.

“Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, khususnya 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah berhubung dengan beberapa pemimpin serta rakan sejawat negara sahabat, termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra sudah mengarahkan Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama kedutaan negara-negara Asean di Tel Aviv.

“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.

“Penahanan peserta GSF adalah tidak sah, dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” katanya.