
KUALA LUMPUR: Ada sukarelawan cedera apabila dikasari tentera Israel ketika proses pemintasan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia MyCare, Kamarul Zaman Shahrul Anwar.
Beliau berkata, tiada maklumat terkini mengenai tahap kecederaan yang dialami oleh sukarelawan, tetapi semua peserta dilaporkan selamat.
Bagaimanapun, katanya keganasan semasa rampasan barang mungkin berlaku, namun setakat ini belum mendapat pengesahan mengenainya.
Peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan semua 145 aktivis daripada Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) sudah dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.
Menurut Kamarul Zaman, peguam ADALAH juga sudah bertemu dengan sebahagian daripada aktivis dan proses guaman masih berjalan.
“Ada peserta yang mengalami keganasan semasa proses pemintasan dan peguam sudah meminta untuk bertemu dengan mereka petang ini.
“Setakat ini, laporan yang kami terima, sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tujuh daripada mereka sudah bertemu dengan peguam ADALAH bagi urusan lanjut,” katanya pada sidang media, hari ini.