Subsidi Haji TH Berisiko Jika Dana Terus Keluar

Foto Hiasan / NST

KUALA LUMPUR: Keupayaan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk terus menyediakan subsidi haji pada masa hadapan berada dalam keadaan berisiko jika trend aliran keluar dana bersih yang dialaminya sejak tiga tahun lalu tidak dibendung sewajarnya.

Pengerusi Kumpulan TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, mendedahkan institusi itu merekodkan aliran keluar dana bersih RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun terakhir.

Keadaan disifatkan sebagai ‘pendarahan senyap’ ini menunjukkan jumlah pengeluaran melebihi jumlah simpanan baharu yang diterima.

Beliau berkata, situasi ini amat membimbangkan kerana ia memberi kesan langsung kepada kestabilan saiz dana TH, yang menjadi teras kepada keupayaan institusi itu untuk menjana keuntungan pelaburan.

“Anda mesti faham, subsidi kami datang sepenuhnya daripada keuntungan pelaburan deposit pendeposit,” tegas Abdul Rashid dalam taklimat kepada pengarang di ibu pejabatnya.