
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan orang ramai segera memeriksa dan menggantikan cip kad pengenalan (MyKad) yang rosak bagi membolehkan mereka menikmati subsidi bersasar RON95 yang dijadual dilaksanakan kerajaan hujung bulan ini.
Katanya, pelaksanaan subsidi itu memerlukan pengesahan identiti menggunakan MyKad ketika proses mengisi minyak di stesen.
“Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar ini. Satu perkara penting rakyat Malaysia kena buat ialah periksa MyKad anda dan pastikan cip berfungsi dan elok.
“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau, boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Insya-Allah, siap hari yang sama. Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya rakan-rakan dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia ini,” katanya
Beliau berkata, inisiatif itu jelas membuktikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji yang pernah disuarakan kepada rakyat.
“Walaupun ambil masa sedikit, Alhamdulillah beliau tetap tunaikan janji sebab insya-Allah, beliau seorang yang berpegang pada kata-kata. A man of his words. Setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia.
“Kerajaan Madani terus komited untuk bantu rakyat, jaga kebajikan semua golongan dan makmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” katanya.