Suami buat laporan polis, dakwa isteri kahwin dua

Foto BH

KOTA BHARU: Seorang pesara tentera mendakwa isterinya berkahwin dengan lelaki Pakistan ketika mereka masih pasangan suami isteri.

Lantaran itu lelaki berusia 40an itu membuat laporan polis mengenainya.

Dalam laporannya, dia mendakwa, perkara itu diketahui pada Selasa lalu ketika hadir ke pejabat agama di Bachok untuk mengambil surat cerai.

Ketika berada di pejabat berkenaan, lelaki itu dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas bahawa bekas isterinya mempunyai dua suami iaitu dia dan seorang lelaki Pakistan.

Wanita itu dikatakan berkahwin dengan lelaki Pakistan pada Disember tahun lalu sedangkan pasangan itu baru bercerai pada 14 Januari lalu.

Susulan itu, lelaki terbabit berjumpa imam yang menikahkan isterinya dan imam berkenaan menjelaskan wanita itu mengemukakan dokumen lengkap ketika mahu berkahwin, malah tiada sebarang masalah dokumen ketika dihantar ke pejabat agama.

Lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bachok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat lelaki terbabit.