SPRM tahan Setiausaha NGO Gaza seleweng dana RM4.2 juta

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan penduduk di Asia Barat khususnya Gaza, Palestin, kerana disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM4.2 juta.

Lelaki berusia 40an itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati suspek, yang juga pemilik sebuah syarikat makanan, disyaki melakukan perbuatan itu di antara 2022 hingga 2024.

Dia dipercayai melulus dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua syarikat lain bagi tujuan pelaburan.

“Siasatan mendapati dalam syarikat itu terdapat individu dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan.

“Siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO itu sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi misi kemanusiaan di Gaza,” kata sumber.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.