SPRM Tahan 16 Ketua Sindiket Penipuan Rakyat China

Foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak berkuasa China menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa dikendalikan rakyat negara itu.

Op Dragon menyasarkan rangkaian sindiket yang dipercayai berpangkalan dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia.

Sindiket terbabit dikenal pasti menjalankan aktiviti penipuan merentas sempadan dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata melalui beberapa siri operasi yang dijalankan secara bersepadu, SPRM menahan 16 suspek utama yang menjadi ‘ring leader’, bersembunyi di negara ini.

Semua suspek warga China dan mereka sudah dihantar pulang untuk dibicarakan di China.

Proses penghantaran pulang dilakukan dengan kerjasama Kedutaan China serta Jabatan Imigresen Malaysia dengan semua prosedur perundangan dan diplomatik dipatuhi.