SPRM Siasat Seorang lagi Pegawai Kanan ATM

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disyaki terkait dengan penyelewengan perolehan dalam pasukan itu.

SPRM ketika ini sudah mula menjalankan siasatan terhadap individu terbabit dan individu yang berusia 50-an itu dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, SPRM sudah menahan seorang pegawai kanan ATM berhubung siasatan perolehan dalam pasukan berkenaan.

Difahamkan ada beberapa lagi individu lain dalam ATM mungkin dipanggil membantu siasatan pembabitan mereka dalam perolehan pasukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap pegawai kanan yang lain dalam ATM.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut, namun berkata, siasatan adalah bertujuan memastikan keadilan ditegakkan di negara ini dan ruang rasuah perlu ditutup.