SPRM Buru Baki RM12b Dana 1MDB Diseleweng

Foto Fb SPRM

KUALA LUMPUR: Kira-kira RM12 bilion daripada RM42 bilion dana yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dikesan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

Daripada RM42 bilion dana 1MDB itu, setakat ini nilai keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia dalam kes itu mencecah RM31.19 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya menjangkakan agensi antirasuah itu dapat memulihkan sekitar RM5 bilion tidak lama lagi.

“Keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng dan dikesan adalah sekitar RM42 bilion dan kita sudah berjaya memulihkan dana termasuk aset sekitar RM30 bilion.

“Jadi bermakna ada lagi baki RM12 bilion, namun kita jangkakan akan memperoleh sekitar RM5 bilion lagi.

“Saya tidak tahu jumlah RM5 bilion itu akan dapat dibawa pulang pada tahun ini atau tidak tetapi SPRM sedang berusaha ke arah itu dan saya mahukan ia cepat (dipulihkan),” katanya.