
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tegas menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas, termasuk kewujudan mana-mana ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan suruhanjaya berkenaan.
Dalam kenyataannya SPRM berkata, dakwaan itu dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian yang tidak mempunyai nama pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.
“Suruhanjaya memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian, khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah.
“SPRM berpandangan bahawa tuduhan ini adalah satu cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan suruhanjaya dalam sektor korporat, khususnya terhadap pihak-pihak yang mungkin terjejas oleh tindakan undang-undang yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu.
SPRM juga melihat isu berkenaan sebagai isu lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan semula bagi mencemarkan imej serta reputasi suruhanjaya.
Jelas kenyataan itu, SPRM menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan berasaskan bukti, selaras dengan undang-undang serta tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.
“Penyebaran tuduhan tanpa asas yang berpunca daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan. Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah,” menurut kenyataan itu.