
KOTA KINABALU: Warga Sabah akan keluar mengundi pada 29 November dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR juga menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun pada sidang medianya di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, sebentar tadi berkata, writ pilihan raya pula dikeluarkan hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat khas SPR yang bermula jam 10 pagi ini berhubung pelaksanaan PRN17 Sabah berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Oktober lalu.
SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran itu daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya pada 6 Oktober lalu juga, iaitu sehari selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN.
PRN17 Sabah menyaksikan sebanyak 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.