Sokongan Pemimpin Mengubah Hidup OKU

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan RM300 sebulan kepada Noorilham Ismail untuk menyara hidupnya dua tahun lalu.

Sebagai seorang OKU penglihatan, setiap langkahnya bergantung kepada isteri, Zarifah Arsani, yang sanggup menjadi pembantu sepenuh masa. Dialah yang memandu, membacakan bahan kajian dan memastikan makan minum cukup.

Walaupun penuh perjuangan untuk hidup sehingga kerap ikat perut, satu impian tersemat di hati Ilham, iaitu meraih PhD di Universiti Malaya (UM).

Perjuangan Ilham akhirnya sampai ke pengetahuan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong melalui bekas pensyarahnya di UM satu ketika dahulu, Dr. Ahmad Kamal.

Kagum dengan kecekalan Ilham, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu tampil membantu walaupun Ilham bukan dari Kawasan Parlimennya dan juga bukan dari Pulau Pinang.

Beliau membiayai kos peringkat akhir kajian PhD Ilham di Amerika Syarikat dan menambah elaun RM1,000 sebulan setakat kemampuannya.

Bantuan itu bukan sekadar angka. Ia menjadi nafas baru kepada Ilham dan Zarifah meneruskan perjuangan mereka.

“Dulu anak Felda ini kena reject nak masuk kerja kerana kecacatan penglihatannya,” dedah Steven Sim.

“Tapi hari ini dia berjalan megah menerima ijazah PhD daripada DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Nazrin Shah, Canselor Universiti Malaya,” tambahnya dalam catatan Facebook.

Dua tahun kemudian, pengorbanan dan sokongan itu membuahkan hasil. Dari seorang yang terpaksa ikat perut setiap hari, Ilham kini berdiri megah sebagai pensyarah kanan dalam bidang Sejarah Amerika Syarikat Moden di UM.