SOKONG ANWAR PACU EKONOMI BERDAYA SAING

Sumber Gambar : Astro Awani

KUALA LUMPUR: Idea dan langkah yang digagas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa negara mencapai sasaran muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.

Oleh Itu, rakyat terutama pengundi Negeri Sembilan harus menyokong usaha beliau.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban, Dr Mazlan Che Soh, berkata pencapaian Itu harus disokong sepenuhnya kerana ia lebih penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia berbanding persaingan politik yang lebih kepada usaha untuk merebut kuasa berdasarkan perkauman, bukan prestasi kemajuan.

Menurutnya, peningkatan Malaysia ke tangga ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026 merupakan pencapaian yang wajar dihargai kerana menunjukkan negara berada pada landasan yang semakin kukuh untuk mencapai sasaran kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.

“Dalam PRN Negeri Sembilan, rakyat seharusnya menilai setiap parti berdasarkan prestasi, kestabilan, keupayaan mengurus ekonomi serta dasar yang benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Ekonomi, Shahar Abdullah berkata, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.

Beliau berkata, keyakinan itu disokong kedudukan Malaysia di tangga ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berbanding kedudukan ke-23 tahun lalu.

Mazlan berkata, politik pembangunan dan pencapaian mesti mengatasi persaingan berasaskan sentimen perkauman atau perebutan kuasa semata-mata.

Katanya, sokongan rakyat perlu diterjemahkan sebagai tuntutan supaya usaha reformasi ekonomi, peningkatan daya saing, penciptaan pekerjaan berkualiti dan pengukuhan pendapatan rakyat terus diperhebatkan.

“Akhirnya, ukuran kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar kedudukan dalam ranking dunia, tetapi sejauh mana pencapaian itu dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat,” katanya.