
MELAKA: Kubur digital akan dirintis di Melaka sebagai sistem pengurusan tanah perkuburan baru, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, sistem itu akan menggunakan penomboran digital ke atas setiap plot kubur bagi memudahkan waris mengenal pasti lokasi pusara ahli keluarga dalam jangka panjang.
“Seperti kita maklum, bilangan kubur semakin bertambah dan ada tanda atau penanda asalnya sudah hilang. Keadaan ini tidak cukup spesifik untuk membantu pencarian kubur ahli keluarga,” katanya.
Kampung Pulau, Masjid Tanah menjadi lokasi rintis bagi projek ini sebelum pelaksanaan secara menyeluruh di seluruh negeri Melaka.
“Menerusi projek Kubur Digital, kita akan menomborkan semua kubur lama secara digital sebagai rujukan bagi memudahkan generasi akan datang menziarahi pusara keluarga mereka,” katanya.
Sistem tersebut dilihat sebagai satu inovasi penting dalam mengatasi cabaran pengurusan tanah perkuburan tradisional, apabila ramai waris sukar menjejaki lokasi pusara kerana kekurangan penanda fizikal yang kekal.
Ab Rauf menyatakan projek tersebut akan memberi kemudahan yang lebih tersusun dan sistematik.