
Sebuah syarikat tenaga boleh baharu dari Belanda menubuhkan loji perintis di Kuantan untuk memanfaatkan sisa kelapa sawit dengan menukarnya menjadi pellet hitam TG2, iaitu sumber tenaga boleh baharu.
Syarikat berkenaan, Wilhelmina Malaysia Energy Sdn Bhd, menggunakan teknologi canggih bagi memproses sisa kelapa sawit bagi menggantikan pergantungan arang batu dengan berkesan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata syarikat itu menubuhkan loji perintis di Malaysia untuk mempamerkan potensi itu manakala Jepun sudah menunjukkan minat untuk melakukan usaha yang sama.
“Saya menggalakkan pemain industri sawit untuk menyertai inisiatif ini dengan memperuntukkan 10 hingga 20 peratus tandan buah kosong mereka bagi menyokong rantaian bekalan,” katanya.
Katanya, ini akan membantu meningkatkan pengeluaran dan meletakkan Malaysia sebagai pengeksport global bagi pellet hitam.