Singapura cadang buka konsulat di Sabah, Sarawak

Foto PMO

SINGAPURA: Singapura akan membuka konsulat di Sabah dan Sarawak yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan di antara rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menyambut baik keputusan Malaysia untuk meluluskan secara rasmi cadangan Singapura membuka konsulat di Sabah dan Sarawak.

“Gembira Malaysia bersetuju secara rasmi dengan cadangan Singapura untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak.

“Ini akan membolehkan Singapura menyediakan perkhidmatan konsular kepada rakyat Singapura di sana, serta memperdalam hubungan erat yang sedia terjalin antara rakyat kita,” kata Wong pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas Pemukiman Pemimpin Tahunan Ke-12 di sini.

Perkara itu pertama kali dibangkitkan pada pemukiman pemimpin di Putrajaya, Januari lalu.