Singapura bantu Malaysia dapatkan aset RM39 juta daripada Jho Low

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Komersil Singapura berjaya mendapatkan semula aset bernilai AS$8.57 juta (RM39.1 juta) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low serta keluarganya.

SPRM berkata dana itu telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan aset berkaitan skandal itu yang berjaya dipulangkan kepada Malaysia kepada RM31.19 bilion.

“Pemulihan aset in yang berjumlah AS$8.57 juta (RM39.1 juta) adalah hasil daripada usaha penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

“Selain itu, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

SPRM berkata pemulihan terbaru itu, bersama penyelesaian bernilai AS$330 juta dengan JPMorgan Chase & Co baru-baru ini, menjadikan jumlah aset yang dipulangkan kepada Malaysia berkaitan kes 1MDB mencecah RM31.19 bilion.

“Pada 26 Jun 2024, DOJ Amerika Syarikat mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi AS$100 juta.

“Secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih AS$1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dikembalikan kepada Malaysia,” kata suruhanjaya itu lagi.

SPRM berkata pemulihan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan melalui pasukan petugas khas pelbagai agensi yang diketuai olehnya, dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, polis dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Kebangsaan.