
GOPENG: Tujuh kes penipuan menggunakan modus operandi membabitkan tempahan kuih raya serta juadah Aidilfitri dikesan oleh polis Perak.
Penipuan berkenaan menyebabkan jumlah kerugian mencecah hampir RM300,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata sindiket penipuan itu menyasarkan peniaga makanan, terutama pengusaha katering dan pastry.
Menurutnya, sindiket itu membuat tempahan makanan atau kuih sebelum memperdayakan mangsa untuk membuat bayaran kepada pihak ketiga.
Katanya, modus operandi suspek ialah membuat tempahan katering sebelum turut memesan item yang diketahui memang tiada disediakan dalam inventori mangsa.
Beliau berkata, suspek kemudian akan meminta mangsa menghubungi individu tertentu yang kononnya boleh menyediakan item berkenaan.
“Suspek akan mengusulkan satu nombor telefon untuk mangsa hubungi tetapi sebenarnya adalah ‘scammer’.
“Selepas mangsa membuat bayaran, barulah menyedari sudah ditipu.
“Dalam kes sebegini, mangsa menanggung dua kerugian kerana menyediakan juadah ditempah suspek dan juga membuat pembayaran kepada ‘scammer’ (dalam sindiket sama) yang kononnya pihak ketiga tadi,” katanya.