Sindiket dadah guna laut ke Kelantan

Foto NSTP

KOTA BHARU: Bekalan dadah ke Kelantan kini dipercayai banyak menggunakan laluan laut susulan pangkalan haram ditutup dan kawalan di sempadan dipertingkat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia berikutan laluan laut begitu luas dan kekangan dari segi penguatkuasaan.

“Hasil pemantauan berkaitan kemasukan bekalan dadah, sindiket kini memilih laluan laut kerana ia begitu luas dan terbuka.

“Memang kita ada Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), namun bot mereka terhad dan laluan laut pula luas.

“Bayangkan bermula Pulau Tengkorak di Pengkalan Kubor sehingga Besut, Terengganu, ia begitu luas dan terdedah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Maritim Malaysia bahawa sistem radar Remote Sensored Site (RSS) Swasla akan dipasang di Pulau Tengkorak.

“Dengan adanya radar berkenaan memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan sebarang pergerakan termasuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya.