Sindiket Curi Susu Celah Kelangkang Tumpas

Foto Sinar Harian

Sindiket mencuri susu formula bayi dan kanak-kanak dengan taktik menyembunyikannya di perut dan celah kelangkang akhirnya tumpas selepas ahli kumpulan itu dicekup polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Serbuan tengah malam itu dilakukan oleh Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hasil risikan selepas menerima dua laporan kecurian susu formula di pasar mini Taman Paya Emas dan Bandar Baru Sungai Udang di sini pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kumpulan yang digelar Sindiket Susu Borneo itu dianggotai empat individu berusia antara 23 hingga 50 tahun termasuk seorang wanita warga Filipina.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket yang berasal dari Sabah itu menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pelanggan bagi mengaburi mata pekerja premis.

“Manakala dua lelaki akan bertindak menghalang pandangan orang ramai dengan berdiri di kiri dan kanan lorong rak, seorang lagi menjadi ‘peninjau’ di luar premis,” katanya.