
KUALA LUMPUR: Syarat baru yang mewajibkan pendeposit menyimpan minimum RM15,000 dalam akaun Tabung Haji (TH) adalah selari dengan peningkatan semasa kos ibadat itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata peningkatan kadar itu masih tidak memadai, mengambil kira kos mengerjakan haji kerana secara muassasah bagi seorang jemaah adalah RM33,300.
“Yang Berhormat Pengkalan Chepa berpandangan syarat simpanan RM15,000 kepada pendeposit beri kesan besar (kepada pendeposit).
“Jumlah RM15,000 bagi menerima tawaran haji masih tak mencukupi untuk laksanakan haji kerana kos keseluruhan bagi jemaah muassasah adalah RM33,300,” katanya pada sesi pengulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat, semalam.
Zulkifli berkata penetapan kadar baru itu secara tak langsung memberi kesan positif dengan pendeposit berusaha meningkatkan simpanan semasa bagi melayakkan mereka menerima tawaran haji.
Ia juga antara usaha TH mengurangkan jumlah bakal jemaah yang menangguhkan giliran haji, sebagaimana dilaporkan pada tahun lalu.
“Pada 2025, kira-kira separuh bakal jemaah yang terima tawaran telah menangguhkan giliran kerana kekurangan simpanan. Apa kita lakukan pada 2026, selepas dibuat peringatan awal, terdapat bakal jemaah yang meningkatkan simpanan terus ke paras RM15,000 dalam masa singkat.
“Selain itu, mulai Ogos tahun lalu, TH keluarkan peringatan awal kepada bakal haji musim 2026 dalam semua platform, media sosial, akhbar, THijari. Alhamdulilah tahun ini kita berjaya kurangkan kepada 18 peratus sahaja penangguhan,” katanya.