
KUALA LUMPUR: Selain barangan kemas dan emas, pegawai Jabatan Imigresen yang terbabit salah laku rasuah di pintu masuk negara dikesan menyembunyikan habuan diperoleh di dalam simpanan deposit tetap seperti Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Taktik itu dikesan dalam Op Rentas dijalankan sepasukan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur yang mendapati, terdapat seorang pegawai Imigresen mempunyai RM1.5 juta dalam beberapa akaun pelaburan itu.
Suspek lelaki itu dikesan bukan sekadar menyimpan habuan rasuah di dalam akaun peribadinya, malah milik keluarga termasuk dalam akaun anak dan isterinya, yang juga seorang pegawai Imigresen.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan perkara itu dan berkata suspek antara tiga pegawai Imigresen termasuk dua pegawai wanita yang ditahan pihaknya dalam operasi di ibu negara, baru-baru ini.
“Suspek bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’ yang mana mereka dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara.
“Mereka ini menjalankan perbuatan itu tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya mengulas pendedahan yang disiarkan dalam video menerusi akaun TikTok rasmi SPRM.
Ops Rentas dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak Selasa lalu.